Sweden akhiri kebuntuan, Löfven kekal PM

STEFAN LOFVEN
STEFAN LOFVEN
A
A
A

SETELAH lebih empat bulan menemui jalan buntu (political deadlock), Sweden akhirnya berjaya membentuk kerajaan baru dengan Stefan Löfven terpilih sebagai perdana menteri Sweden bagi penggal yang kedua.

Krisis politik ini berlarutan selama 133 hari, berikutan keputusan piliha raya umum (PRU) yang lalu meletakkan Sweden dalam ‘hung parliament’, satu situasi politik apabila tidak ada satu parti secara solo atau pakatan yang menang majoriti atau tidak ada satu pakatan baru yang berjaya dibentuk selepas PRU, untuk menguasai Riksdag (parlimen Sweden).

Pada 9 September lalu, keputusan PRU Sweden menyaksikan blok Red-Greens (mewakili centre-left) daripada Social Democrats, Greens dan Left yang meraih 40.6 peratus (144 kerusi) - hampir terikat dengan blok Alliance for Sweden (mewakili centre-right) daripada Moderates, Liberals, Centre dan Christian Democrats yang menguasai 40.3 peratus (143 kerusi). Manakala parti haluan kanan Sweden Democrats (SD) meraih 17.6 peratus (62 kerusi).

Amat jelas, hanya satu kerusi sahaja yang membezakan dua pakatan utama tersebut dan tidak ada satu pun blok atau pakatan yang mendominasi Riksdag.

Jumaat lalu, krisis politik Sweden berjaya dileraikan melalui satu keputusan pengundian dalam Riksdag dengan mengekalkan Löfven mewakili Social Democrats sebagai perdana menteri Sweden buat penggal kedua berdasarkan sokongan 115 undian, 153 menentang dan 77 berkecuali.

Uniknya dalam sistem politik Sweden, kerajaan tidak memerlukan sokongan majoriti tetapi undian majoriti mampu menghalang pembentukan kerajaan baru. Ini terjadi dalam hari pengundian Jumaat lalu apabila keputusan 153 menentang daripada 349 undi telah ‘gagal’ menghalang Löfven terpilih sebagai perdana menteri Sweden. Majoriti (magic number) dalam Riksdag adalah 175 undi.

Menamatkan krisis tersebut, ia dilihat satu proses yang panjang, sukar dan meletihkan bukan hanya pemimpin, malah rakyat turut terjebak sama.

Pada 11 Januari lalu, Löfven terpaksa mengemukakan draf dasar dengan 73 janji (deal) dalam rundingan dengan empat buah parti (Social Democrats dan Greens dari blok centre-left serta Centre dan Liberals dari blok centre-right).

Artikel Berkaitan:

Antara janji tersebut adalah melonggarkan cukai kepada pekerja dan syarikat, mewajibkan ujian bahasa sebagai syarat kerakyatan serta deregulasi pasaran hartanah - satu kompromi yang telah menjejaskan sokongan kepada Social Democrats yang terkenal sebagai parti bernuansa konservatif di Sweden.

Hasilnya, dua parti blok ‘centre-right’ Liberals dan Centre Party bersetuju dengan janji tersebut dan merestui pembentukan kerajaan pimpinan Löfven. Strategi tersebut dilihat membuahkan hasil bagi blok ‘centre-left’ untuk mempengaruhi proses undian pada 18 Januari lalu. Malangnya Left party, salah satu komponen dalam blok ‘centre left’ bertindak meninggalkan blok kerajaan baru tersebut.

Rundingan ini mencatatkan sejarah dalam politik Sweden, kerana menampakkan kematangan pemimpin politik terpaksa bertolak ansur serta mengorbankan prinsip, ideologi dan dasar parti bagi mencapai ‘kemaslahatan’ lebih utama; mempertahankan demokrasi dan bersepakat meminggirkan Jimmie Åkesson dan partinya Sweden Democrats (SD).

Semenjak 2010, Sweden menyaksikan kebangkitan gerakan haluan kanan ‘far-right’, SD yang semakin ‘membanjiri’ Riksdag - satu fenomena yang semakin mengambil ‘centre stage’ di banyak negara Eropah.

Ini terbukti apabila SD berjaya meraih 62 kerusi, tambahan 14 kerusi lagi berbanding PRU 2014 lepas - satu keputusan terbaik dalam sejarah parti tersebut dan peningkatan jumlah kerusi tertinggi antara semua parti politik Sweden. Tren sokongan terhadap SD juga meningkat setiap tahun dengan 12.9 peratus (49 kerusi) pada 2014 dan 5.7 peratus (20 kerusi) pada 2010.

SD dan banyak gerakan haluan kanan di Eropah yang menganut ideologi nasionalis jalur keras, amat sinonim melaungkan sentimen xenofobia, anti-pendatang, anti-EU, Islamofobia, tabsub dengan ketuanan orang putih serta gemar memainkan isu-isu perkauman (rasisme) sebagai modal untuk meraih sokongan rakyat Eropah.

‘Ratib politik’ sebegini kelihatan berjaya dimanipulasi kelompok kanan dan amat mudah mempengaruhi ramai pendukung dan rakyat biasa.

Isu perang Syria secara nyata telah mengheret jutaan pelarian ke Eropah lalu membangkitkan kerisauan warga Eropah yang tegas mempertahankan negara daripada ancaman keselamatan dan sumber pekerjaan, kebanjiran warga asing dan juga nilai-nilai non-Eropah.

Kebangkitan kelompok ‘far-right’ menatijahkan impak yang besar dalam lanskap sosio-politik di banyak negara Eropah. Lega di Italy, Alternativ fur Deutschland (AfD) di Jerman, Front National di Perancis dan Fidesz di Hungary antara parti politik haluan kanan yang semakin berpengaruh di Eropah.

Bagi pemerhati politik, krisis politik ini sesuatu yang menarik kerana ia berlaku di Sweden, salah sebuah negara Scandinavian yang terkenal mengamalkan negara model berkebajikan, bertoleransi serta menikmati kestabilan politik.

Kesatuan Eropah (EU) juga berdepan defisit kepercayaan warga Eropah sendiri sebagai sebuah badan supranasional yang belum mampu mempertahankan projek keamanan, pendemokrasian dan kestabilan negara-negara anggotanya setelah 60 tahun penubuhannya.

Realitinya, kestabilan negara-negara Eropah semakin tergugat dengan kerencaman serangan krisis berskala lokal dan global dunia seperti ketidaktentuan ekonomi semasa; ancaman keselamatan; perpecahan kaum; kebangkitan kelompok berhaluan kanan dan pelampau; salah guna kuasa dan tadbir urus yang lemah; rusuhan dan perang saudara termasuklah isu alam sekitar.

Ini cabaran buat pemimpin politik khususnya dan masyarakat umum agar berusaha lebih keras untuk memastikan rakyat dan negara menikmati jaminan keamanan, kemakmuran serta perpaduan nasional.

*Penulis adalah pelajar PhD Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, aktivis Gen Two Training Academy (Gentra) dan pengasas Euromates

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!