Yayasan Amal Malaysia sasar korban 4,000 haiwan di Afrika

Selain menjalankan ibadat korban, sukarelawan Amal turut beramah mesra melayan kanak-kanak yang gembira menerima rombongan mereka di Afrika.
Selain menjalankan ibadat korban, sukarelawan Amal turut beramah mesra melayan kanak-kanak yang gembira menerima rombongan mereka di Afrika.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Yayasan Amal Malaysia (Amal) menyasarkan lebih 4,000 ekor haiwan ternakan akan disembelih membabitkan kira-kira 20,000 penyertaan rakyat Malaysia sempena Misi Korban ke Afrika pada tahun ini.

Ketua Penyelaras Amal Korban Afrika 2020, Zulkifli Baharom berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima lebih 6,000 penyertaan seluruh negara dengan hampir 1,500 ekor haiwan ternakan lembu, kambing dan unta untuk dikorbankan sempena Aidiladha tidak lama lagi.

Beliau berkata, antara negara yang ditetapkan di benua Afrika ialah ke Chad, Cameroon dan Sudan yang tersenarai antara negara Islam termiskin di dunia.

“Ibadat korban yang dijalankan akan tertumpu kepada pusat tahfiz selain perkampungan Islam yang memerlukan bantuan.

“Di sana, pelajar tahfiz seawal usia lima tahun ditinggalkan ibu bapa dalam serba kekurangan. Jika seekor lembu yang kita korbankan dan diberikan kepada mereka, dapat dijadikan makanan kepada 250 pelajar tahfiz dalam masa sebulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, penerimaan rakyat tempatan terhadap Misi Korban Amal sangat menggalakkan malah ada penerima yang begitu teruja dengan kedatangan Amal memandangkan kebanyakannya tidak pernah melaksanakan korban.

Zulkifli menunjukkan papan loq dan al-Quran usang yang digunakan golongan tahfiz di Afrika.
Zulkifli menunjukkan papan loq dan al-Quran usang yang digunakan golongan tahfiz di Afrika.

“Bagi kambing kita hanya tawarkan harga RM480 seekor manakala lembu hanya RM350 satu bahagian dan unta dengan hanya RM600 satu bahagian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau dan ahli rombongan biasanya akan menyempurnakan proses sembelihan sendiri bagaimanapun, sehingga kini pihaknya masih menunggu kelulusan kerajaan mendapatkan kebenaran keluar negara susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Jika tidak boleh, kita akan menyerahkan tugasan Misi Korban kepada wakil Amal di sana. Kita menganggap ia bukan semata-mata untuk berkorban malah berdakwah kerana setiap tahun bilangan penduduk memeluk Islam semakin bertambah,” katanya.

Dalam masa sama, Zulkifli berkata, Amal turut melancarkan Kempen Wakaf Sejuta al-Quran untuk Afrika yang dijalankan sepanjang tahun dengan harga RM25 senaskah.

“Kita lihat keperluan al-Quran sangat mendesak kerana kebanyakan pelajar tahfiz hanya menulis ayat suci al-Quran di atas papan loq yang boleh dipadam sebagai bahan pembelajaran.

“Kalau ada pun, mashaf al-Quran yang digunakan adalah sangat usang disebabkan kemiskinan,” katanya.

Terbaharu, beliau berkata, sebanyak 13,500 mashaf al-Quran siap dicetak dan sedia untuk diagihkan kepada penduduk Afrika.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai ibadat korban di sana boleh menghubungi Zulkifli di talian 019-4111000. Tempahan masih dibuka sehingga 30 Julai ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!