137 mangsa banjir di Dengkil dipindahkan
SEPANG - Seramai 137 mangsa banjir di sekitar daerah Sepang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Dengkil pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba 1 Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat memohon khidmat khas banjir pada jam 5.05 pagi tadi.
Menurutnya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke Kampung Chemperai, Dengkil.
"Sebaik tiba anggota bomba bertugas mendapati berlaku banjir di lokasi.
"Anggota bomba membantu mengeluarkan dan memindahkan mangsa terlibat ke PPS," katanya.
Menurutnya, seramai 33 penghuni daripada lapan keluarga dipindahkan ke Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Jenderam Hilir manakala 81 penghuni daripada 18 keluarga lagi dipindahkan ke Dewan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
"Seramai 23 penghuni daripada lima keluarga pula dipindahkan ke Dewan Kampung Orang Asli, Dengkil," katanya.
Hafisham berkata, setakat jam 8 pagi tadi banjir di Kajang dan mukim Dengkil didapati sudah mulai surut.
"Air naik antara satu dan dua meter di Taman Baiduri 3, Kampung Orang Asli Jenderam Batu 28, Kampung Revolusi Hijau, Taman Kristal, Kampung Seri Tanjung dan Jalan Merbok, Taman Desa Jenderam Hilir, Dengkil.
"Pemantauan di lokasi banjir dan PPS akan dibuat secara berterusan dari masa ke masa sehingga banjir surut," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kajang dan Hulu Langat dinaiki air.
Turut mengalami banjir kilat semalam beberapa kawasan di Hulu Selangor, Gombak dan Sepang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!