'Kami sudah tewaskan dua kelab terbaik Eropah'
ARSENAL kini disifatkan berada dalam prestasi terbaik selepas mara ke perlawanan akhir Piala FA apabila menewaskan Manchester City 2-0 dalam aksi separuh akhir di Wembley awal pagi.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui bangga dengan prestasi pemainnya yang sebelum ini turut beraksi cemerlang menundukkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool 2-1 dalam aksi liga, Khamis lalu.
“Saya sangat gembira dengan persembahan pasukan dalam lima hari kebelakangan ini. Kami telah menewaskan dua pasukan terbaik di Eropah.
“Kredit perlu diberikan kepada pemain melihatkan kepada kesungguhan dan kerja keras mereka di atas padang. Apa yang kami usahakan sebelum ini mula membuahkan hasil,” katanya.
Dua gol daripada penyerang sensasi The Gunners, Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-19 dan ke-71 sudah cukup untuk memberikan kejayaan bermakna kepada skuad utara London itu.
Dalam pada itu, Arteta juga mengakui lega dapat layak ke perlawanan akhir Piala FA yang akan memberikan ruang kepada Arsenal menempah slot ke saingan Eropah musim depan seandainya berjaya memenangi trofi tersebut.
“Kami berada pada landasan betul mengenai perancangan yang kami sedang lakukan. Visi itu sangat jelas. Ia berkaitan beberapa kemungkinan yang kita ada buat masa ini.
“Sekiranya menang (Piala FA) mengenai kemungkinan yang kita miliki dan pada masa ini kita mempunyai beberapa ketidakpastian. Sekiranya kita menang, kita akan berada di Eropah dan ia akan memberikan banyak kelebihan musim depan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai masa depan Aubameyang di kelab itu, Arteta yakin pemain kelahiran Gabon itu akan terus kekal di Emirates.
“Cara dia bercakap dengan saya menunjukkan dia mahu kekal tetapi dengan syarat dia mahu melihat arah tujuan yang betul dan kejayaan yang bakal dikecapi Arsenal musim depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!