Solskjaer bangga prestasi Fosu-Mensah
PENGENDALI Machester United, Ole Gunnar Solskjaer bakal menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain pertahanan kirinya yang juga pemain kelahiran Belanda, Timothy Fosu-Mensah, biarpun terdapat beberapa kelab dari Jerman dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat pemain berkenaan.
Solskjaer berkata, Fosu-Mensah mempamerkan aksi cemerlang khususnya memperkuatkan pertahanan skuad The Red Devils ketika menewaskan Crystal Palace 2-0 Jumaat lalu.
Menurut Solskjaer, perkara itu sekali gus memberikan petanda bahawa pemain berusia 22 tahun berkenaan mampu menjadi pemain serba boleh khususnya sebagai pengganti kepada Aaron Wan-Bissaka dan Luke Shaw pada masa depan.
“Fosu-Mensah beraksi mengikut arahan diberikan kepadanya. Dia juga telah bekerja keras sepanjang perlawanan dan saya gembira dengannya.
“Saya juga telah menyaksikannya pada sesi latihan pasukan. Jadi kita rasakan Fosu-Mensah berhak mendapat tempat dalam kesebelasan kelab dan dia juga telah membuktikannya,” katanya.
Aksi di Sellhurst Park itu menyaksikan Fosu-Mensah disenaraikan dalam kesebelasan utama kelab buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Tambah Solskjaer, dia juga tidak menolak kemungkinan Fosu-Mensah berkemungkinan muncul sebagai pemain bernilai United pada masa depan.
Katanya, secara tidak langsung ia akan membantu memberikan lebih pilihan kepadanya dalam menurunkan kesebelasan terbaik United nanti.
“Jika Fosu-Mensah menolak tawaran kontrak kita, kelab dari Bundesliga sudah pun bersedia menanti kedatangannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!