Isu UEC: Kerajaan tidak perlu tunduk pada Huazong
KOTA BHARU - Kerajaan tidak terlalu berlembut dan tunduk dalam menyelesaikan kemelut isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang kembali dipertikaikan.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) sepatutnya berusaha untuk meningkatkan kemajuan dan kemahiran ahlinya dalam berbahasa Kebangsaan tanpa meminggirkan bahasa ibunda mereka.
Menurutnya, walaupun jelas menyimpang daripada Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Negara, isu UEC sengaja dibangkitkan kembali untuk meraih kepercayaan orang Cina terhadap DAP, selain ingin menutup kebobrokan dan kelemahan prestasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ibarat retak menanti belah.
“Pemuda Umno Kelantan menekankan supaya kerajaan hari ini tidak berlembut dalam isu UEC untuk mendapat pengiktirafan ini. Selagi mana mereka tidak memenuhi syarat utama iaitu pelajar perlulah lulus kepujian mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah mengikut standard yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
“Dua mata pelajaran teras ini amat penting dalam membina jati diri untuk menjadi rakyat Malaysia yang cintakan negara," katanya.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu mengeluarkan kenyataan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mengotakan janji untuk mengiktiraf UEC sebagaimana dijanjikan beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih bersama PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!