Loken Ipoh kembali beroperasi
IPOH - Pasar Karat Loken atau Ipoh Memory Lane di sini kembali dibuka kepada orang ramai selepas empat bulan ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak pandemik koronavirus (Covid-19) Mac lalu.
Pengarah Kanan Perkhidmatan dan Operasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Musa Dun berkata, pembukaan perniagaan tersebut hanya melibatkan perniagaan barangan lama, terpakai dan antik di Jalan Horley.
“Pembukaan semula Memory Lane ini dibuat secara penggiliran setiap minggu melibatkan 278 pelesen mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Memandangkan ia baru pertama kali dibuka kepada orang ramai sejak penutupannya Mac lalu, kita akan melihat pematuhan orang ramai terhadap SOP ini seterusnya membuat penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya ketika mengadakan Lawatan Pematuhan SOP di Memory Lane di sini hari ini.
Menurutnya, MBI telah menyediakan enam pintu masuk dan beberapa orang kakitangan MBI telah ditempatkan untuk tujuan pemantauan pematuhan SOP.
"Namun ada beberapa penambahbaikan terutamanya dari segi penyusunan khemah dan lain-lain lagi bagi melancarkan operasi Memory Lane pada masa akan datang.
"Kira-kira 1,000 pengunjung hadir pada hari pembukaan semula Memory Lane ini yang dibuka bermula jam 7 pagi hingga 1 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!