Dakwaan Dr Mahathir mahu BN menang, cerita rekaan

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbual dan beramah mesra dengan salah seorang penduduk warga emas, Bunga Saaid, 90, pada program Ziarah Kasih di Sungai Koyan hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbual dan beramah mesra dengan salah seorang penduduk warga emas, Bunga Saaid, 90, pada program Ziarah Kasih di Sungai Koyan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LIPIS - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dakwaan BN bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara ‘senyap-senyap’ mahu calon BN memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands hanya cerita rekaan untuk menarik undi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Pakatan Harapan itu berkata, ini adalah amalan biasa bagi pembangkang.

“Sudah tentu tidak betul (dakwaan itu), pihak pembangkang akan buat cerita-cerita itu, bunyinya menarik tapi ia tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari bersama penduduk Kampung Keledek di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dilapor mendakwa di sebuah ceramah di sini, bahawa jauh di sudut hati, Dr Mahathir sebenarnya mahu calon BN menang di PRK berkenaan.

Malah, Dr Wan Azizah berkata, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH sendiri dijadual turun berkempen pada hari terakhir berkempen, Jumaat ini, walaupun selepas berdepan jadual yang ketat sewaktu lawatan kerjanya di tiga buah negara iaitu Senegal, United Kingdom dan Austria.

“Beliau akan datang untuk berkempen lusa. Selepas mesyuarat kabinet pada Khamis," katanya.

Mengenai isu ucapan pada majlis pelancaran projek jalur lebar berkelajuan tinggi Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG) di Shah Alam, semalam, Dr Wan Azizah sekali lagi mengingatkan supaya namanya tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana penganjur, tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

“Saya dah keluarkan kenyataan, memang saya tak pergi dan itu memang bukan ucapan saya, dia (penganjur) telah gunakan nama saya, saya katakan tidak boleh,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Xiddig Cellular Communications Sdn. Bhd. (Xiddig) kononnya mereka telah mendapat kebenaran bagi menggunakan teks ucapan tersebut, Dr Wan Azizah berkata, mereka boleh mempertikaikan apa sahaja, namun seperti ditegasnya, ucapan berkenaan bukan ucapannya.

“Ini adalah salah satu daripada apa mereka nak (jemput). Memang jemput saya, tetapi kalau saya tak pergi, mereka boleh teruskan program tetapi tidak boleh guna nama saya,” katanya.

Teks yang dikatakan ucapannya itu dibaca Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Menurut laporan, projek bernilai RM5.45 bilion itu merangkumi pemasangan fiber gentian optik terbesar dunia melibatkan jajaran sepanjang 110,000 kilometer, yang membolehkan Malaysia bakal memiliki akses kelajuan Internet terpantas yang menyediakan platform 5G pertama di Asia Tenggara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!