Malaysia depani badai Covid-19 lebih baik berbanding negara lain: Bank Dunia
KUALA LUMPUR - Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang dibawa oleh pandemik koronavirus (Covid-19), Malaysia mengharungi kegawatan ekonomi ini dengan lebih baik berbanding negara-negara lain, kata Bank Dunia.
Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiamé Diop berkata, ekonomi Malaysia bergantung kepada asasnya yang kukuh.
"Struktur ekonomi negara yang pelbagai, sistem kewangan mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik itu.
“Walaupun kita menjangka ekonomi akan menguncup dengan ketara pada tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sebanyak 3.1 peratus termasuk penguncupan yang ketara pada suku kedua serta ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi, kita masih lagi ada harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bank Dunia menganggarkan 90 peratus daripada ekonomi dunia akan mencatatkan penguncupan tahun ini.
“Kesan pandemik ini dijangka menyebabkan peningkatan kemiskinan ekstrem global buat pertama kalinya sejak 1998. Perkembangan ini turut melenyapkan kemajuan yang telah dicapai sejak 2017,” katanya.
Diop berkata, kerajaan Malaysia telah menggerakkan strategi enam peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan, sambil menambah negara telah memasuki peringkat pemulihan yang keempat yang menjadi asas kepada peringkat yang seterusnya dalam usaha menghidupkan dan membentuk semula ekonomi.
“Ini bermakna kerajaan bukan sahaja berazam untuk keluar daripada krisis ini tetapi juga untuk berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada sebelum ini supaya dapat menangani krisis lain pada masa akan datang,” katanya.
Diop berkata, walaupun sokongan dasar yang penting telah pun dilaksanakan, kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang sangat memerlukan, terutamanya isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas.
Meskipun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, namun pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih, walaupun sesetengah bahagian ekonomi seperti sektor perkilangan akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih cepat berbanding sektor lain seperti pelancongan.
“Ini mungkin bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan yang terjejas, terutamanya kumpulan B40 yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan dengan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, krisis ini juga menekankan keperluan bagi Malaysia untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial lebih kukuh dengan kos lebih berkesan serta dasar yang lebih bersepadu bagi meningkatkan kebajikan individu dan isi rumah semasa tempoh pemulihan dan pada masa akan datang.
Menurut Diop, Covid-19 telah melanda secara mengejut yang mana Malaysia memiliki ruang belanjawan yang terhad untuk bertindak balas menerusi suntikan fiskal secara langsung; sambil menyatakan apabila ekonomi pulih nanti, langkah pembaharuan perlu diambil untuk meningkatkan hasil cukai termasuk mencari sumber hasil baharu yang lebih progresif.
"Fokus utama juga perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja dalam ekonomi baharu, serta merancakkan agenda digital dan mengurangkan jurang digital.
“Malah, ketika sebelum krisis lagi, kesedaran telah pun wujud tentang keperluan Malaysia untuk menganjakkan pendekatan persaingannya ke arah menarik pelaburan yang lebih berkualiti; cabaran yang malahan menjadi semakin kritikal untuk ditangani,” katanya.
Beliau berkata, sekarang ialah masa untuk mengatur perubahan menyeluruh bagi membantu melonjakkan negara ke peringkat yang seterusnya untuk terus membangun pada tahun-tahun akan datang.
“Usaha yang dijalankan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa walaupun Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, namun terdapat jurang yang besar dalam rangka kerja dasar yang menghalang negara daripada mencapai potensi penuhnya, bahkan jurang ini menjadi lebih memudaratkan semasa krisis.
“Jadi, sekarang adalah masanya untuk merancang dan melaksanakan dasar yang akan membantu meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, meningkatkan kualiti modal insan, meningkatkan daya saing, mewujudkan pekerjaan yang berkualiti, memodenkan institusi dan mempromosikan rangkuman melalui rangka kerja perlindungan sosial yang lebih kukuh yang sesuai dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!