MAIWP perluas hebahan aplikasi MoJA, bantu jejaki asnaf
KUALA LUMPUR - Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan diperluaskan menerusi hebahan di masjid dan surau.
Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee berkata, aplikasi mudah alih yang dilancarkan sebulan lalu itu belum sampai kepada masyarakat.
Menurutnya, ia menyebabkan matlamat untuk melibatkan masyarakat sebagai penyalur maklumat menerusi aduan secara dalam talian itu belum mencapai sasarannya.
"Sasaran saya maklumat awam menerusi MoJA membolehkan skuad MAIWP tiba awal sebelum bantuan lain tiba, namun disebabkan aplikasi ini masih baru maka ia belum sampai kepada warga wilayah.
"Bagaimanapun, saya akan perbaik perkara ini dengan menghebahkan maklumat MoJA kepada kariah menerusi jawatankuasa masjid dan surau," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran iaitu sebuah keluarga di Taman Batu Muda, hari ini.
Syed Hussien berkata, pihak MAIWP akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk hebahan di peringkat masjid dan surau.
"Dengan hebahan ini diharap sesuatu musibah yang berlaku di sesuatu kawasan itu cepat sampai kepada kita dan membolehkan bantuan segera disalurkan," katanya.
Terdahulu, pelancaran aplikasi MoJA dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di ibu pejabat MAIWP di bangunan Perkim, 23 Jun lalu.
MoJA adalah usaha MAIWP untuk memaksimakan agihan zakat di Wilayah Persekutuan menerusi penyaluran maklumat awam membantu MAIWP mengesan potensi asnaf.
Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple Apps Store.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!