Langkah tepat Miros bincang dengan pengendali penghantar makanan
KUALA LUMPUR - Langkah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk mengadakan perbincangan dengan pengendali penghantaran makanan mengenai kadar tinggi kemalangan membabitkan penunggang motosikal perkhidmatan itu satu tindakan yang tepat dan wajar.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan itu harus dibuat memandangkan syarikat penghantar itu mempunyai tanggungjawab dalam memastikan pekerja mereka mematuhi peraturan jalan raya.
"Kami mengalu-alukan apa jua usaha yang dapat diambil oleh Miros untuk menangani masalah kemalangan jalan raya yang membabitkan penghantar makanan.
"Kami juga memerhatikan kadar kemalangan membabitkan penghantar makanan ini adalah tinggi. Jadi, ia satu usaha yang kena pada masanya supaya tidak berulang lagi," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali Kedua bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebimbangan MIROS terhadap kadar kemalangan jalan raya yang tinggi membabitkan penghantar makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, jumlah kemalangan motosikal dapat dikurangkan sekiranya terdapat kesedaran dalam diri mengenai keselamatan di jalan raya sekali gus menjadikan mereka lebih peka terhadap punca kemalangan.
“Apabila sesuatu kemalangan berlaku, ada pelbagai puncanya. Salah satu puncanya adalah kerana mereka tidak mempunyai sikap yang betul.
Paling penting ialah perubahan sikap penunggang motosikal itu sendiri. Jika sikap ini dapat diperbetulkan, kami yakin ia dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.
Sementara itu, NGO terbabit menerusi AGM hari ini memutuskan untuk mewujudkan dua jawatankuasa khas dalam merancang strategi keselamatan jalan raya dan keselamatan di air pada Ogos ini.
“Anggota jawatankuasa ini akan terdiri daripada mereka yang pakar dalam dua bidang berkenaan dan objektif utamanya adalah untuk mengadakan perbincangan dengan lebih teliti mengenai pelbagai aspek keselamatan jalan raya dan juga di air,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!