Isu PATI: APMM Selangor tahan tekong tempatan, dua kru Myanmar

Bot nelayan yang dinaiki tekong tempatan dan dua kru warga Myanmar
Bot nelayan yang dinaiki tekong tempatan dan dua kru warga Myanmar
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Seorang tekong warga tempatan ditahan bersama dua kru warga Myanmar dalam Op Benteng Laut di 0.4 batu nautika timur Pulau Ketam, di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim, lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

"Kita menahan sebuah bot nelayan tempatan ketika melakukan rondaan Op Benteng Laut bagi membendung kemasukan PATI ke negara ini pada jam 1.29 pagi.

"Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas bot, kita mendapati tekong tersebut menggaji dua awak-awak warga Myanmar untuk bekerja di atas bot berkenaan tanpa dokumen pengenalan diri yang sah," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, APMM mengalu-alukan kerjasama komuniti menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI.

"Orang awam boleh menyalurkan maklumat melalui talian 03-31769100," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!