Kisah penunggang motosikal tak sayangkan nyawa

No Image Caption
A
A
A

MINGGU lepas Merak Jalanan menegur sikap penunggang motosikal degil yang tidak mahu menggunakan laluan sikal yang disediakan di Lebuh Raya Persekutuan, sebaliknya lebih gemar ‘mencilok’ di laluan kereta tanpa memikirkan keselamatan diri mereka.

Sekali lagi Merak Jalanan nak ingatkan bahawa laluan di Lebuh Raya Persekutuan adalah kawasan yang sangat bahaya untuk menyelit kerana tidak ada ruang yang cukup untuk mengelak jika anda terjatuh.

Malangnya, ada sesetengah penunggang motosikal bukan nak dengar pun nasihat. Cakap sampai berbuih mulut pun tak guna, nanti pembaca ingat ada penyakit gila babi pula. Sendiri mau ingatlah.

Ahad lepas Merak Jalanan memandu ke Tanjung Malim menggunakan Lebuh Raya PLUS. Sedang asyik memandu, tiba-tiba beberapa buah motosikal ‘kapcai’ memotong dari sebelah kanan dengan aksi ‘superman’.

Terkejut beruk Merak Jalanan dibuatnya. Nasib baik tidak melatah. Ketika itu Merak Jalanan memandu dengan kelajuan 110km/j. Bayangkan kelajuan motor-motor kapcai itu. Nak ambil gambar pun tak sempat sebab terlalu laju.

Bukankah bahaya motosikal menggunakan laluan paling kanan kerana hampir dengan tembok? Apakah mereka ini tidak sayangkan nyawa?

Cubalah bawa motosikal elok-elok, tiada siapa yang akan marah. Tindakan mereka itu bukan hanya membahayakan nyawa sendiri, malah nyawa pengguna jalan raya yang lain turut berada dalam keadaan bahaya.

Motosikal itu sudah dibuat dengan begitu lengkap dengan gear di kaki, tapi ‘superman-superman’ itu menukar gear menggunakan tangan!

Artikel Berkaitan:

Purata kemalangan maut direkodkan di negara ini adalah antara 16 hingga 17 kes setiap hari dengan 65 peratus daripadanya membabitkan penunggang motosikal.

Janganlah jadikan lebuh raya sebagai pusara!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!