Polis Marin rampas mercun dalam pondok

Anggota Polis Marin Langkawi menunjukkan mercun yang dirampas dari sebuah pondok kosong.
Anggota Polis Marin Langkawi menunjukkan mercun yang dirampas dari sebuah pondok kosong.
A
A
A

LANGKAWI - Hasrat suspek meraih keuntungan menjual mercun sempena Tahun Baru Cina berkecai apabila tiga bungkusan mengandungi bahan terlarang itu dirampas anggota Polis Marin, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Langkawi, Deputi Suprintendan Polis, Rohizan Mohamad Saaid berkata, bungkusan plastik hitam itu ditemui lima anggota ketika menjalankan rondaan Op Landai di sebuah pondok kosong di tepi Sungai Kilim kira-kira jam 12.15 tengah malam.

“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan sekitar kawasan tersebut, anggota Polis Marin tidak menjumpai pemilik barangan tersebut selepas hampir sejam menunggu.

“Barang rampasan dibawa balik ke pejabat pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan selanjutnya bawah Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Menurutnya, hasil rampasan merangkumi 300 kotak mercun mancis, 105 paket mercun naga, 20 kotak mercun lebah, 19 paket mercun tunderclap kecil serta sembilan paket mercun tunderclap besar dianggarkan bernilai kira-kira RM3,000.

“Turut dirampas dua kotak mercun jenis 49shot cake, sekotak 25shot cake, lima paket mini fountain, sekotak thunder bomb, 47 kotak smoke cracker serta 31 kotak happy boom,” katanya.

Rohizan berkata, jenama lain termasuk 100 kotak mercun pop, tiga paket mercun bola besar, empat paket mercun bola kecil, tiga paket mercun fireworks, tujuh paket mercun colour smoke ball, serta 15 paket mercun naga.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!