Mayat lelaki ditemukan terapung
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Kilang Ubi, Jalan Bukit Minyak di sini petang semalam.
Mayat Perng Ah Lam, 53, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 6 petang sebelum mereka melaporkan penemuan itu melalui talian kecemasan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai tergelincir ketika bersiar-siar di sekitar kawasan sungai terbabit.
Menurutnya, mangsa yang menghidap penyakit angin ahmar dan jantung gagal menyelamatkan diri dan hanyut dibawa arus.
"Lelaki berkenaan tidak pernah berkahwin, tinggal di sebuah rumah jagaan tidak jauh dari lokasi kejadian dan dia sering menghabiskan masanya pada waktu petang dengan bersiar-siar di sekitar tempat tinggalnya.
"Difahamkan sebelum ini dia pernah mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam dan selepas dibenarkan keluar dari wad dia dihantar oleh keluarganya untuk tinggal di pusat jagaan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shafee berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Mertajam membantu membawa naik mayat mangsa sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.
Katanya, keputusan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!