Lagi mangsa skim pelaburan tidak wujud

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN- Dua individu membuat laporan polis semalam mendakwa menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud membabitkan nilai kerugian keseluruhan lebih RM27,000.

Mangsa berusia 28 dan 29 tahun membuat pelaburan selepas tertarik dengan iklan di laman sosial Facebook namun rasa tertipu selepas gagal menerima keuntungan lumayan yang dijanjikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir berkata, salah seorang mangsa merupakan pengurus projek berusia 28 tahun kerugian RM24,180 selepas menyertai pelaburan di luar negara yang diperkenalkan dua kenalan Facebook pada Mac dan Mei lalu.

Menurutnya, mangsa membuat lapan kali pelaburan melalui dua kenalan Facebook tersebut dan pembayaran semua wang pelaburannya dibuat melalui akaun bank atas nama syarikat yang sama.

"Mangsa syak telah ditipu apabila sehingga laporan polis dibuat semalam, wang keuntungan gagal diterima seperti yang dijanjikan," katanya.

Sementara itu, pekerja sebuah syarikat pengangkutan turut menerima nasib sama apabila kerugian RM3,618 apabila menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 29 tahun itu ditawarkan empat pelan pelaburan melalui sebuah syarikat dan dia memilih dua daripada pelan tersebut berharga RM500 dan RM1,500.

"Mangsa dijanjikan keuntungan berjumlah RM18,700 melalui dua pelan pelaburan yang disertai itu dalam tempoh dua hari.

Artikel Berkaitan:

"Selepas membuat bayaran RM3,618 ke akaun bank atas nama seorang lelaki pada 9 Julai lalu, mangsa syak telah ditipu apabila dia gagal menerima wang keuntungan dalam tempoh dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis akan melakukan semakan terhadap akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes ini bagi mengesan suspek terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!