Ekonomi negara dalam momentum pemulihan
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu telah mengembalikan momentum pemulihan ekonomi negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, situasi itu dijangka dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan mendorong pengambilan pekerja.
Menurutnya, selaras dengan perkembangan tersebut dalam jangka masa pendek situasi tenaga buruh pada Jun 2020 dianggar bertambah baik.
“Pasaran buruh dijangka terus mengukuh dalam tempoh jangka sederhana hingga separuh kedua tahun 2020.
“Ini terbukti, sehingga 2 Jun 2020, DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) mendapati bahawa lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) mengenai unjuran kadar pengangguran negara dan langkah diambil kementerian.
Menurut Saravanan, data terkini DOSM menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran bagi tahun ini adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Menurutnya, antara sektor pekerjaan yang paling terjejas ialah pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan serta tidak terkecuali golongan bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga dan pengusaha kecil.
“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.
“Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kementerian saya terlibat dalam pelaksanaan lima inisiatif daripada 11 inisiatif memperkasakan rakyat melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!