Solskjaer berikan amaran kepada De Gea

Solskjaer cuba menenangkan De Gea selepas perlawanan berkenaan
Solskjaer cuba menenangkan De Gea selepas perlawanan berkenaan
A
A
A

PENGENDALI Manchester United Ole Gunnar Solskjaer memberikan amaran kepada penjaga gol David De Gea mengenai kedudukannya dalam pasukan yang mungkin terancam disebabkan kesilapannya pada aksi separuh akhir Piala FA Inggeris berdepan Chelsea, di Wembley awal pagi tadi.

Solskjaer berkata, kesilapan yang dilakukan penjaga gol berusia 29 tahun itu adalah kesilapan besar hingga mengakibatkan skuad The Red Devils itu gagal meneruskan kemaraan apabila tumpas 1 - 3 kepada skuad The Blues itu.

Justeru, Solskjaer mengingatkan penjaga gol skuad kebangsaan Sepanyol itu untuk meningkatkan semula prestasinya dan terus diberikan kepercayaan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

"Saya tak boleh bercakap mengenai tahap keyakinan De Gea (pada perlawanan itu), tetapi saya tahu bahawa dia memang seorang yang agak kuat dari segi mental.

"Dia (De Gea) juga tahu, dia sepatutnya menyelamatkan rembatan Mason Mount untuk gol kedua Chelsea, tetapi itulah bola sepak. Saya yang membuat keputusan untuk menurunkannya kerana dari segi mental dia nyata telah bersedia.

"Selain itu semua orang tahu gerakan Olivier Giroud yang gemar berada berhampiran pintu gol dan di situlah sepatutnya kita perketatkan kawalan; tetapi kita lewat dan gol kedua itu sepatutnya boleh diselamatkan," katanya.

Pada perlawanan berkenaan Olivier Giroud membuka jaringan pada minit ke-45 sebelum Mount melebarkan kedudukan seminit berselang apabila rembatannya gagal ditangkap kemas De Gea.

Pemain United, Harry Maguire kemudiannya tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-74 untuk gol ketiga Chelsea sebelum Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85 bagi merapatkan jurang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Solskjaer berkata, di sebalik kesilapan yagn dilakukan De Gea, penjaga gol berkenaan turut berjaya menyelamatkan banyak percubaan Chelsea pada perlawanan berkenaan terutamanya pada lewat perlawanan.

"Saya faham, mungkin agak sukar bagi De Gea untuk melupakan kekalahan United kelmarin, apatah lagi setelah melakukan kesilapan mudah yang memberikan dua jaringan kepada lawan.

"Memang agak sukar untuk mengubah keadaan, namun dia juga turut menyelamatkan dua atau tiga percubaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!