Lapan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib
KUALA LUMPUR - Seramai lapan anggota polis berpangkat koperal dikenakan tindakan tatatertib selepas Jabatan Pengurusan Bukit Aman mengesan individu berkenaan menerima imbuhan daripada anggota polis lain untuk proses pertukaran lokasi tugas.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kesemua anggota polis itu juga telah diarahkan bertukar ke jabatan lain.
"Kita mengesan kes tersebut pada tahun lalu dan mereka disyaki memberi imbuhan sebanyak RM5,000 secara ansuran kepada lapan individu itu.
"Bagaimanapun hasrat pertukaran tugas anggota tersebut tidak berjaya dilaksanakan oleh kesemua lapan individu berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Abdul Rahim juga tidak menafikan dakwaan ada pegawai dan anggota polis membayar ribuan ringgit kerana mahu lulus peperiksaan dalaman bagi mendapatkan peluang temu duga untuk kenaikan pangkat.
"Tetapi setakat ini saya belum lagi mengesan kes berkenaan," katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini memaklumkan pihaknya ada menerima laporan mengenai pegawai dan anggota yang membayar antara RM4,000 hingga RM10,000 kepada pihak ketiga semata-mata untuk tujuan itu.
Abdul Hamid tidak akan sesekali bertoleransi dan akan mengambil tindakan terhadap pegawai atau anggota yang mengambil suapan bagi meluluskan peperiksaan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (kepada pihak terbabit).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!