Kesalahan imigresen dimasukkan dalam SOSMA
PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan untuk memasukkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 ke dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mengekang pemalsuan MyKad dalam kalangan migran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Mengikut Jadual Pertama SOSMA, menteri mempunyai kuasa untuk meminda akta tersebut," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini sebentar tadi.
Menurutnya, ketika ini migran yang didapati bersalah di bawah akta itu hanya akan diusir keluar dari negara ini.
"Hari ini mereka yang ditangkap memiliki dan membeli MyKad palsu dihantar pulang. Tidak (lagi). Kita akan hukum mereka di bawah SOSMA," katanya.
Beliau berkata, rakyat tempatan yang terlibat dalam sindiket pemalsuan MyKad juga akan dikenakan tindakan di bawah SOSMA.
"Ini kerana mereka tidak mempunyai 'sense of belonging' sebagai rakyat Malaysia dan pada saya mereka melakukan pengkhianatan," katanya
Tambahnya, setakat 17 Julai tahun ini, seramai 35 migran ditangkap dalam 37 operasi yang dijalankan JPN sejak Januari lalu.
Sementara itu, beliau berkata, JPN sedang berunding dengan beberapa syarikat ke arah pendigitalan MyKad.
"Saya akan memastikan pegawai JPN dapat dihantar untuk belajar teknologi terkini bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
"Contohnya MyKad digital yang kita rasa mampu untuk mengurangkan masalah kad pengenalan palsu pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!