Sarjan tentera kritikal diserang gajah liar
GERIK - Seorang Sarjan tentera dilaporkan kritikal selepas diserang gajah liar ketika melakukan tugasan rondaan di kawasan Hutan Royal Belum, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berpangkat Sarjan mengalami cedera parah dan hancur tangan kiri.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memaklumkan serangan itu berlaku kira-kira 40 kilometer dari Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) November.
Menurutnya, semasa kejadian, anggota berkenaan sedang melakukan rondaan di kawasan yang terdapat habitat gajah.
"Tak banyak yang boleh dilakukan Perhilitan kerana kes ini berlaku dalam hutan yang memang menjadi habitat gajah.
"Bagaimanapun kami akan membantu mangsa mendapatkan bantuan menerusi tabung serangan binatang buas," katanya.
Laporan awal menyebut, sub unit anggota telah meminta bantuan daripada orang asli untuk menghantar mangsa ke FOB November.
Mangsa yang tiba pada jam 5.30 petang kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!