PM bimbang 13 kluster baharu, kes kembali catat angka dua digit

Muhyiddin berucap pada Perutusan Khas Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Muhyiddin berucap pada Perutusan Khas Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kebimbangan susulan penambahan 13 kluster baharu kes Koronavirus (Covid-19) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Beliau berkata, walaupun jumlah kes kekal rendah tetapi dengan kewujudan kluster baharu antaranya seperti dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai lalu dan Kluster Stutong yang bermula sejak Sabtu lepas.

Selain itu katanya, sejak 7 Julai lalu terdapat empat kluster baharu dikesan berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak tiga kes, Kluster di Melaka (lima kes), Kluster di Terengganu (tiga kes) dan Kluster di KualaLumpur (dua kes).

Menurutnya, lebih membimbangkan kes Covid-19 ini kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lalu dan situasi itu tidak boleh diambil mudah

"Saya pasti anda semua tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan 'lock down' sekali lagi sekiranya kes Covid-19 naik mendadak dan saya juga berharap kita tidak perlu sampai ke tahap itu.

"Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, dengan ekonomi negara terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan.

"Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup seperti itu lagi," katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Perkembangan Terkini PKPP hari ini.

Muhyiddin berkata, impak kepada ekonomi amat besar sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penutupan semula sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan jutaan pekerja di Malaysia.

"Ia juga akan menidakkan usaha kerajaan, sektor swasta dan NGO di bawah Pakej Prihatin (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi.

"Harus diingat bahawa kerajaan sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin Tambahan dan Penjana yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini. Lebih 2.75 juta pekerjaan berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja," katanya.

Tegasnya, selain itu, lebih 800,000 perniagaan termasuk perniagaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima manfaat daripada pakej rangsangan ini dan pakej Prihatin dan Penjana dianggarkan menyumbang lebih tiga peratus kepada pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini.

"Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai, perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3peratus bagi Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini suatu keadaan yang mesti kita elakkan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020 selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir pada 9 Jun lalu.

Menerusi PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada orang awam untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!