Bau busuk rupanya mayat adik
KOTA BHARU - Seorang lelaki yang berhasrat menziarahi adiknya di sebuah rumah di Jalan Tengku Ahmad Panglima, Perumahan Wakaf Mek Zainab di sini semalam dikejutkan dengan bau busuk sebelum menemui mayat adiknya itu.
Mayat lelaki berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di lantai dan berkain pelikat berdekatan tandas rumah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis menerima maklumat pada jam 8.10 malam dan pemeriksaan tidak menemui sebarang kecederaan pada badan serta tiada kesan yang meragukan di tempat kejadian.
“Polis tidak menemui sebarang senjata di sekitar kawasan itu. Barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit masih dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, anak keempat daripada enam beradik itu tinggal bersendirian di rumah tersebut dan berdasarkan keterangan jiran tiada sebarang kejadian pelik yang berlaku.
"Lelaki berkenaan kali terakhir ditemui dalam keadaan baik oleh kakaknya dua minggu lalu dan mangsa juga tidak pernah mengadu sakit atau mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati, tidak ada sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun siasatan masih diteruskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!