Rais bimbang ramai mohon pengecualian khas mahkamah
SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Tan Sri Dr Rais Yatim mempersoalkan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menulis surat kepada mahkamah untuk mempertimbangkan penangguhan perbicaraan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih awal bagi membolehkannya menghadiri sesi Parlimen.
Rais menyifatkan perkara seumpama itu mungkin akan menjadi contoh (precedent) yang membolehkan ahli Parlimen lain diberi pengecualian khas dari proses mahkamah yang telah dijadualkan.
"Mungkin lepas ni mana-mana ahli Parlimen tertuduh di mahkamah boleh minta lepasan khas daripada hadir mengikut jadual asal.
"Hebat Speaker ini. Apa lebihnya ahli Parlimen daripada rakyat biasa? Speaker dah lupa ke Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan?," tulis Rais di Twitternya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN - 'Saya mohon pertimbangan mahkamah untuk Najib hadir ke Parlimen'
Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Khamis lalu, Hakim Collin Lawrence Sequerah telah menolak permintaan peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan jam 1.30 tengah hari agar Ahli Parlimen Pekan itu dapat menghadiri Parlimen.
Selepas hakim menolak permintaan itu, peguam Najib mengemukakan surat daripada Azhar.
Susulan itu, hakim mengarahkan mahkamah berehat dan memaklumkan bahawa perbicaraan diteruskan sehingga jam 3.15 petang, yang mana selepas itu Najib bergegas ke Parlimen.
Najib dibicarakan di mahkamah berhubung dana RM2.28 bilion yang didakwa berasal dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pengubahan wang haram.
Rais menerusi Twitternya sebelum itu juga mempersoalkan kelayakan perwakilan yang sering menggunakan kata-kata kesat di Parlimen.
Beliau bukan sahaja mempersoalkan kelayakan ahli-ahli Parlimen terbabit sebagai wakil rakyat tetapi mahu rakyat membuat penilaian semula terhadap sikap pemimpin-pemimpin yang mereka pilih itu.
"Dengar dan perhatikan rakan-rakan saya. Inilah pemimpin yang kita pilih. Kita harus mengulanginya semula dengan keputusan rakyat dan Yang Dipertua (Dewan Rakyat) melalui kuasa Parlimen.
"Adakah orang-orang ini akan terus memimpin anak-anak dan generasi yang akan datang," soal Rais yang turut memuat naik satu video pendek di Twitternya itu.
Video berdurasi 25 saat itu memaparkan beberapa wakil rakyat di Parlimen termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat menggunakan kata-kata kesat dan tidak sopan, sepatutnya tidak berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!