JKN Perak siasat individu PUS langgar kuarantin Covid-19
IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung seorang pesakit di bawah pengawasan (PUS) berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) didakwa makan di sebuah restoran di Meru Raya yang tular hari ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, siasatan telah dijalankan dan tindakan sewajarnya termasuk perundangan akan diambil sekiranya dakwaan itu berasas.
Menurutnya, JKN Perak telah mengambil maklum isu yang sedang tular mengenai PUS yang gagal mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di rumah masing-masing.
"Sehubungan itu, JKN telah mengambil tindakan serta-merta untuk menyiasat perkara ini.
"Jika didapati berasas, tindakan sewajarnya termasuk tindakan perundangan akan diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui perkongsian gambar di Facebook hari ini, seorang wanita yang memakai gelang tangan (wristband) merah jambu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang makan di sebuah restoran.
Tindakan wanita berkenaan telah menimbulkan kebimbangan orang ramai kemungkinan penularan wabak Covid-19.
Gelang tangan itu diwajibkan ke atas kesemua pengembara yang pulang ke Malaysia sepanjang tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.
Individu yang melanggar perintah kuarantin di rumah berkaitan dengan wabak Covid-19 boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!