Kopi terkenal guna logo halal tamat tempoh

Wan Mohd Suhaimi (kanan) menampal notis penutupan di sebuah kopitiam yang didapati kotor.
Wan Mohd Suhaimi (kanan) menampal notis penutupan di sebuah kopitiam yang didapati kotor.
A
A
A

KEMAMAN - Sebanyak 9,565 peket kopi bernilai RM13,108 dirampas di sebuah kilang memproses kopi jenama terkenal di negeri ini selepas dikesan menggunakan sijil pengesahan halal tamat tempoh dalam operasi bersepadu, hari ini.

Pemeriksaan mendapati walaupun sijil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kilang sudah tamat tempoh sejak 16 Jun 2016 namun masih berani mencetak logo halal pada bungkusan plastik dan kotak produk kopi keluaran mereka.

Serbuan kilang di Kawasan Perindustrian Jakar 3, Chukai itu dilakukan dalam Operasi Bersepadu Halal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kemaman bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan daerah ini.

Jabatan dan agensi turut terlibat adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Pejabat Kesihatan Kemaman dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, serbuan ke kilang itu dilakukan selepas pihaknya memeriksa sebuah kopitiam di Chukai dan membongkar mengenai logo halal yang dicetak pada plastik bungkusan dan kotak produk kopi itu.

“Sijil pengesahan halal kilang itu mati pada 2016 dan sepatutnya kilang itu tidak boleh pakai logo halal sehingga buat pembaharuan.

“Ekoran itu kopitiam dan kilang itu kita siasat Perintah 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama dan denda RM500,000 untuk kesalahan kedua,” katanya.

Zulfamy (tiga, kiri) bersama pegawai dan anggota penguatkuasa JHEAT, Pejabat Kesihatan Kemaman dan MPK memeriksa logo halal pada paket dan kotak kopi ketika serbuan di sebuah kilang memproses kopi.
Zulfamy (tiga, kiri) bersama pegawai dan anggota penguatkuasa JHEAT, Pejabat Kesihatan Kemaman dan MPK memeriksa logo halal pada paket dan kotak kopi ketika serbuan di sebuah kilang memproses kopi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Kemaman di sini, hari ini, selepas mengetuai operasi bersepadu tersebut yang turut disertai Ketua Cawangan KPDNHEP Kemaman, Azahar Mohd Zain.

Zulfamy berkata, kilang berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang Sukat 1972 kerana didapati menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat.

Sementara itu, sebanyak 13 premis diperiksa dan sejumlah RM3,950 kompaun dikeluarkan selain sebuah kopitiam di Taman Chukai Utama diarah tutup serta merta kerana kotor dalam operasi yang dijalankan dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota itu.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kemaman, Wan Mohd Suhaimi Ahmad berkata, arahan penutupan dibuat ke atas premis itu kerana hasil pemeriksaan mendapati banyak lipas berkeliaran di dapur premis dan ia juga berpotensi menjadi tempat pembiakan tikus.

“Premis berkenaan ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan diberikan tempoh selama 14 hari untuk tindakan pembersihan.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan sebanyak lima kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berjumlah RM2,700 melibatkan kesalahan seperti tiada sijil latihan pengendali makanan, tidak memakai apron dan tidak memakai kasut semasa mengendali makanan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa MPK, Mohd Mohsin Ahmad Affendi berkata, pihaknya pula mengeluarkan sebanyak lima kompaun membabitkan empat kes melibatkan kesalahan pengendali makanan yang tidak memakai apron dan tidak mendapat suntikan TY2 serta gagal menyenggara premis dengan baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!