Mata air 100 tahun kegunaan lapan keluarga
JITRA - Sumber mata air yang tidak pernah kering hampir 100 tahun lalu kini menjadi bekalan air untuk kegunaan harian lapan keluarga di Kampung Rumput Minyak, Tunjang di sini.
Seorang penduduk, Nadri Ghazali, 37, berkata, mata air itu muncul dari bawah sebatang pokok Ketapang yang bersaiz dua pemeluk dewasa di Bukit Tunjang di sini.
Menurutnya, disebabkan tekanan air rendah dari paip air Syarikat Air Darul Aman (SADA), mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air mata air berkenaan untuk kegunaan harian termasuk membasuh pakaian.
"Air ini mula digunakan oleh nenek moyang kami sejak dahulu lagi.
"Uniknya sehingga sekarang ia tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, kewujudan mata air berkenaan juga memberi manfaat kepada orang luar yang sering memerlukan air semula jadi untuk berubat secara tradisional.
"Saya tidak pasti ia digunakan untuk penyakit apa, tetapi memang ada la orang luar yang datang ke sini.
"Alhamdulillah, sehingga sekarang ini penduduk yang menggunakan air ini juga tidak mengalami sebarang penyakit bawaan air atau sebagainya," katanya.
Bagi Lu Soon Hock, 70, kewujudan mata air berkenaan pernah menjadi sumber pendapatannya bersama rakan-rakan pada suatu masa dahulu.
"Zaman dulu sebelum adanya paip air dari SADA semua penduduk sekitar Tunjang bergantung pada mata air ini.
"Semasa kecil saya selalu ambil air ini untuk jual kepada orang kampung sekitar Tunjang, saya isi air dalam tin roti dan jual dengan harga 20 sen," katanya.
Tambahnya, dia berharap sumber air terbabit terus terpelihara dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak.
"Selagi air itu masih ada, biarlah ia digunakan oleh penduduk di sini.
"Lagipun kami tak dapat bekalan air dari SADA sebab kawasan sini tekanannya rendah," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa pihak termasuk 5 Rejimen Sempadan, parol dan komuniti setempat telah menjalankan gotong-royong membersihkan persekitaran kawasan mata air terbabit minggu lalu.
"Saya juga pernah mengadakan lawatan bersama wakil SADA pada Februari lalu untuk meninjau dan menaiktaraf kawasan takungan ini.
"Hasilnya kita dalam proses membina konkrit dan juga bumbung untuk memelihara sumber air berkenaan.
"Proses pembinaan ini sudah siap 40 peratus dan Insya-ALLAH jika tiada halangan ia akan siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!