Kayuh basikal, tunggang motosikal sejauh 1,200km demi cinta
MUMBAI - Benarlah kata orang, demi cinta lautan api sanggup direnangi.
Begitulah kisah seorang lelaki berusia 20 tahun di India yang meredah perjalanan sejauh 1,200km dengan menggunakan basikal dan motosikal dari Osmanabad ke Kutch dalam usaha menyeberang ke Pakistan untuk bertemu dengan kekasihnya.
Bagaimanapun, kembara cinta pelajar kejuruteraan itu tidak kesampaian selepas dia ditangkap di Kutch oleh Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) India pada hari Khamis lalu. Jarak Kutch di India ke pintu sempadan Pakistan hanya tinggal kira-kira 70km.
Berdasarkan portal berita Mumbai Mirror, Zeeshan Siddiqui pelajar tahun tiga di sebuah kolej di bandar Osmanabad, Maharashtra mahu pergi ke Gujarat, Pakistan bagi menemui seorang gadis yang dikenali melalui laman sosial.
Menurut pegawai polis, Zeeshan ditangkap sekitar jam 9 malam pada hari Khamis di Kutch ketika dia berjalan kaki dalam keadaan dehidrasi di sebuah kawasan gurun menuju ke sempadan Pakistan.
Zeeshan yang berasal dari Allahabad tinggal bersama ibu bapa serta dua saudara perempuannya. Ayahnya seorang guru agama sementara ibunya menjual sari. Pegawai dari polis bandar Osmanabad memberitahu Zeeshan hilang pada 11 Julai lalu.
Bapanya, Salim Sadique memberitahu, selepas menyedari kehilangan Zeeshan dia membuat laporan di balai polis selain mengedarkan gambar anaknya menerusi kumpulan-kumpulan WhatsApp.
Beberapa hari kemudian, keluarganya mendapat satu panggilan telefon selepas Zeeshan dilihat bermalam di sebuah masjid di Jamkhed salah satu lokasi di India.
Kisah cinta Zeeshan dengan gadis dari Karachi, Pakistan terbongkar selepas polis memeriksa komputer riba pelajar itu.
Pegawai polis berkata, selepas mengayuh basikal sehingga ke Ahmednagar sejauh 225 kilometer, Zeeshan kemudian menunggang motosikal ke Kutch.
Zeeshan memberitahu dia jatuh cinta dengan seorang gadis di Karachi, Pakistan dan menggunakan peta Google sebagai petunjuk arah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!