Musabaqah idea dengan Prof Kamal
MANHAJ penilaian saya adalah berdasarkan surah al-Ma'un bermaksud, “Apakah kamu tidak merenung akan orang yang mendustakan agama? Orang inilah yang menindas anak yatim. Dan orang inilah yang tidak mendorong ke arah menunaikan hak makan orang miskin.”
Ar-Razi dalam kitab Mafaatih Al-Ghaib mengatakan bahawa ayat kedua surah Al-Ma'un adalah bersifat positif iaitu melakukan sesuatu (min baab al-'af'aal) seperti melakukan penindasan.
Ayat ketiga adalah bersifat negatif iaitu meninggalkan sesuatu (min baab al-turuuk) seperti meninggalkan dorongan atau tidak mendorong kepada sesuatu.
Maka manhaj penilaian 'Ma'unik' mengajar kita menilai bukan sekadar dengan memikirkan tentang apa yang salah, tetapi juga memikirkan apa yang sepatutnya ditonjolkan tetapi gagal ditonjolkan dalam suatu wacana.
Bagaimana menggunakan manhaj kritis ini ke atas syarahan Profesor Kamal khususnya dalam YouTube pada 16 Jun 2020 bertajuk The Malay Concept of Sejahtera From An Islamic Perspective?
Syarahan Profesor Kamal berusaha mengislamisasikan konsep Sejahtera sebagai kata kunci paling utama bila Profesor membincangkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Profesor mengaitkan perkataan Sanskrit Sejahtera dengan Al-Falah.
Usaha Profesor Kamal dalam memperkenalkan dwi-kalimah dalam satu frasa iaitu 'Falah-Sejahtera' adalah islamisasi yang sangat bagus kerana mengambil kira acuan Nusantara.
Usaha Profesor Kamal dalam mengekalkan perkataan Melayu walaupun asalnya Sanskrit adalah penting dalam memperkasakan bahasa Melayu.
Usaha menonjolkan kata kunci Sejahtera ini sebenarnya bermula dengan visi futuristik, Profesor Tan Sri Dzulkifli Razak, Rektor UIAM tentang konsep Sejahtera.
Malangnya, selama 30 tahun, tiada satu pun usaha yang berterusan daripada pihak lain dalam memperkasakan wacana Sejahtera, apatah lagi menonjolkan sebagai kata kunci utama dalam FPK.
Wacana Sejahtera memang patut menjadi kata kunci dalam gelanggang musabaqah idea tentang ekonomi, politik, agama, pendidikan dan lain-lain. Syabas Profesor Kamal sebagai tokoh ilmuwan Nusantara!
Bagaimanapun, umat Islam perlu berdaya saing atau kompetitif, bukan sekadar seimbang dan harmonis, dalam gelanggang ilmu. Itulah sebab saya telah memperjuangkan agar perkataan berdaya saing atau berdaya musabaqah di masukkan dalam FPK yang sudah berumur 30 tahun dan ketinggalan zaman.
Komen kritis Dr Daud Bakar di YouTube pada 14 Julai 2020 (Callibrating The IIUM Mission To Move Forward) bahawa setiap organisasi yang tangkas patut menilai semula, bahkan mengubah, visi misinya patut menjadi inspirasi untuk ubah FPK.
Manhaj Ma'unik ajak kita bermusabaqah idea dengan Profesor Kamal dan bertanya soalan ini, “Apa yang Profesor Kamal sepatutnya tonjolkan, tetapi gagal tonjolkan dalam wacananya tentang Sejahtera?
Dalam ruangan kolum yang amat terhad ini, saya hanya 'highlight' bahawa Profesor Kamal gagal melihat perkataan budi sebagai kata kunci utama dalam konsep Sejahtera. Beliau hanya menyebut secara gopoh bahawa budi pekerti 'diIslamisasikan sebagai adab, akhlak.
Dalam kamus DBP, budi juga bermakna bijaksana, bukan sekadar adab, akhlak. Maka artikel saya yang lepas mengaitkan budi dengan perkataan hikmah yang juga jantung Islamisasi. Kalau Sejahtera boleh dikekalkan sebagai perkataan Islamik, mengapa tidak perkataan budi yang lebih utama daripada sejahtera?
Mengapa tidak FPK turut memperkasakan wacana Nusantara dengan menonjolkan perkataan budi yang menjadi jantung falsafah Nusantara dalam membina falsafah sejahtera, akal budi, budi pekerti, budi bahasa, jati diri? Bukankah UIAM mengiktiraf keutamaannya dengan tema universiti sebagai Taman Ilmu dan Budi?
* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!