Chalet seni bina Keukenhof tarikan baharu Batu Kurau
TAIPING - Penampilannya yang bersederhana memakai kemeja-T bercorak bunga-bunga sambil mengukir senyuman, menyambut kehadiran penulis di Chalet Latip D’Ayer Itam di Kampung Air Itam, Batu Kurau, yang terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari bandar Taiping.
Penulis yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan sejauh 110 kilometer menaiki kereta dari Ipoh ke Batu Kurau melalui Lebuhraya Utara Selatan hingga ke jalan kampung yang dikelilingi kebun durian nyata tertarik dengan konsep seni bina Keukenhof dari Belanda pada setiap chalet yang diusahakan Abdul Muzhafar Abdul Manab, 25 tahun.
Konsep bilik segi tiga berwarna-warni itu dicetuskan oleh Abdul Muzhafar yang mengambil alih pengurusan chalet daripada ayahnya, Datuk Abdul Manab Abdullah, 64, pada 2018 di sekitar kawasan seluas 3.24 hektar dikelilingi pemandangan indah pokok yang menghijau selain mempunyai jambatan gantung untuk merentasi Sungai Lata Air Hitam yang mengalir di bawahnya.
"Bila saya habis belajar pada 2018, saya memikirkan untuk membuat pengubahsuaian agar lebih menarik dan segar. Saya teringat konsep di Keukenhof yang mana bumbungnya berbentuk segi tiga untuk mudahkan salji jatuh dan saya fikir ia juga sesuai di sini untuk elak air hujan bertakung," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga seorang graduan undang-undang dari Universiti Oxford, United Kingdom, sebenarnya boleh saja membina kerjaya sebagai pengamal undang-undang satu kerjaya profesional.
Namun anak bongsu daripada tiga beradik itu nekad menukar haluan menjadi pengusaha pusat pelancongan bukan sahaja kerana ingin membantu ayahnya tetapi didorong minat yang mendalam.
Tidak menyesal dengan haluan yang dipilih, Abdul Muzhafar berkata, chalet yang kini mempunyai 32 bilik itu mula dibangunkan oleh ayahnya atau lebih dikenali sebagai Latip dalam kalangan penduduk setempat pada akhir 2018.
Dia yang dibantu abangnya, Abdul Muhaimin, 27, berkata, mereka tidak menyangka selepas mengubah suai bilik daripada bentuk biasa kepada konsep Keukenhof, ia menjadi tular dan mendapat permintaan ramai sehingga talian telefon rasmi untuk tempahan terpaksa ditambah daripada satu kepada lima.
Sambutan sepanjang tempoh PKPP
Keputusan kerajaan membenarkan sektor pelancongan domestik beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menjadi 'penawar' kepada rakyat tempatan yang ingin merawat jiwa selepas hampir empat bulan duduk 'terperuk' di rumah akibat penularan koronavirus (Covid-19).
Berita gembira itu, bukan sahaja disambut baik oleh orang ramai malah memberi impak yang tinggi kepada pengusaha hotel dalam merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.
Di Perak sahaja, setakat 4 Julai lepas, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi memaklumkan sektor pelancongan di negeri ini menerima 7,736 tempahan hotel di seluruh Perak sejak PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun lepas.
"Walaupun komited menarik kehadiran pelancong, kerajaan negeri akan memastikan pengusaha pelancongan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.
Abdul Muzhafar pula menjelaskan, sejak PKPP diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, chalet itu menerima sambutan luar biasa dari dalam dan luar negara termasuk pelancong dari Belanda sendiri.
"Sejak pengumuman Perdana Menteri, chalet kami tidak putus-putus menerima panggilan daripada mereka yang ingin bercuti di chalet kami. Alhamdulillah ada yang datang dari Johor, Terengganu dan Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata, dia dan abangnya, menawarkan diskaun antara lima hingga 10 peratus manakala diskaun sehingga 25 peratus kepada petugas barisan hadapan bermula pada harga serendah RM150 bergantung kepada saiz bilik yang mampu memuatkan dua hingga maksimum 10 orang.
"Bagaimanapun, mereka yang ingin bercuti di sini perlu hubungi kami terlebih dahulu kerana kebanyakan bilik sudah penuh pada tarikh-tarikh tertentu dan kami tidak mahu ada pengunjung yang datang dari jauh tetapi terpaksa balik dan hampa," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Muzhafar berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan program Subsidi Upah dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dinikmati lapan pekerja tetapnya dengan masing-masing menerima RM1,200 selepas terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Konsep bilik Jepun, flying fox
Sebagai nilai tambah, pembinaan kolam renang, dewan, surau dan latihan tali tinggi seperti ‘flying fox’ sedang dibangunkan dan dijangka siap sepenuhnya September ini.
"Pada awalnya, kesemua pembinaan itu, sepatutnya siap pada April lepas namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lepas segala kerja pembinaan yang dijalankan awal tahun ini, terpaksa dihentikan," katanya.
Dalam pada itu, beliau dan abangnya juga bercadang membuat chalet ala-ala Jepun yang lebih praktikal untuk pelancong ‘backpacker' serta pasangan yang datang untuk berbulan madu.
“Kita sedang merangka kerana kita mahu pelbagaikan pilihan bilik kepada pengunjung. Kita jangka untuk membina chalet ala-ala Jepun itu awal tahun hadapan,” katanya.
Mengakui aktiviti agro pelancongan semakin mendapat tempat di hati pelancong tempatan dan luar negara, Abdul Muzhafar berkata beliau telah menghantar kertas kerja kepada Jabatan Pertanian untuk mendapatkan geran pada akhir tahun lepas sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di Perak khususnya di Batu Kurau.
Durian batu kurau
Batu Kurau memang terkenal dengan hasil durian dan tidak asing kepada peminat raja buah itu setiap kali tiba musimnya.
Malah baru-baru ini, kerajaan negeri Perak bercadang untuk menjadikan daerah Larut Matang dan Selama sebagai hub pengeluaran pelbagai durian dengan membina Taman Durian Batu Kurau.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang menyifatkan pembinaan taman di kawasan seluas 100 hektar itu bakal menjadi tumpuan peminat raja buah termasuk pelancong antarabangsa selain dapat melonjakkan ekonomi negeri.
Di Batu Kurau juga mempunyai Pusat Pemprosesan Durian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) iaitu satu daripada 11 pusat yang mendapat pengiktirafan untuk memproses dan mengeksport durian ke China oleh Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC), pada Oktober tahun lepas.
FAMA Batu Kurau juga mempunyai dua pusat pengumpulan ladang durian di Kampung Bawah Gunung dan Kampung Sempeneh Cempaka.
Bagi Abdul Muzhafar, pembinaan chalet di Batu Kurau yang terletak di Selama itu, ibarat 'sambil menyelam minum air' kerana pengunjung tidak perlu lagi mencari tempat penginapan lain sehingga ke bandar Taiping, yang mengambil masa 45 minit, selepas menikmati raja buah itu.
"Pembinaan chalet yang sebelum ini diusahakan ayah memang khusus untuk orang ramai menginap selepas menikmati durian Batu Kurau. Pengunjung yang datang juga boleh bermandi-manda di sungai Lata Air Itam.
"Kami tidak menyangka mendapat respons yang baik daripada pengunjung yang tiba malah pembukaan chalet ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bekerja di sini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!