Padah lindungi PATI, kontraktor didenda RM24,000

Roslan sedang membuat urusan pembayaran denda di kaunter pembayaran Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini.
Roslan sedang membuat urusan pembayaran denda di kaunter pembayaran Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Kontraktor di tapak projek pembinaan rumah teres dua tingkat di mukim Kubang Parit di sini didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah membenarkan empat imigran haram tinggal di premisnya pada 28 Jun lalu.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman denda itu selepas Roslan Mohamad, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Roslan didakwa sebagai penduduk tempatan membenarkan empat imigran haram berusia antara 18 hingga 47 tahun tinggal dan masuk di premisnya di sebuah tapak projek membina untuk menyiapkan 68 unit rumah teres dua tingkat di mukim Kubang Parit di sini jam 12.10 tengah hari.

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, Roslan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang ditemui di dalam premis jika disabitkan kesalahan.
Artikel Berkaitan:


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias dan Roslan tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut mengarahkannya dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!