Larangan guna perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab, seksis

Azhar menyeru setiap ahli Parlimen berbahas dengan penuh berhemah.
Azhar menyeru setiap ahli Parlimen berbahas dengan penuh berhemah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua Whip parti sebulat suara bersetuju untuk memastikan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan di dalam Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan@Harun berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan beliau bersama semua Ketua Whip parti semalam.

Menurutnya, melalui pertemuan itu, semua Whip parti bersetuju untuk memperbaharui komitmen mereka dalam mempertahankan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat agar perkataan-perkataan tersebut tidak digunakan.

"Adalah diharapkan semua ahli yang berhormat juga memberi komitmen yang sama bagi menjamin perjalanan Dewan Rakyat yang berkualiti dan beradab sopan.

"Oleh itu saya dan Timbalan-timbalan Yang Dipertua akan mengambil tindakan berlandaskan peraturan Majlis Dewan Rakyat sekiranya perkataan yang dimaksudkan tadi masih disebut selepas ini oleh ahli-ahli yang berhormat di dalam dewan yang mulia ini," katanya sebelum memulakan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, semua ahli Parlimen perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik dengan menggunakan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu serta permasalahan negara dan rakyat dengan tertib serta sopan.

"Saya ingin mengingatkan kepada yang berhormat dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita dalam dewan ini untuk membawa satu tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat kepada kita semua.

"Rakyat berharap agar masalah dan keluh-kesah mereka dibincangkan dalam dewan ini dan penyelesaian dapat dicari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum mengakhiri ucapan tersebut, Azhar turut menyeru setiap ahli Parlimen berbahas dengan penuh berhemah.

"Setiap ahli Parlimen perlu menjaga tertib dan adab susila yang sopan supaya kepentingan rakyat dapat dibela dan kesucian dewan yang mulia ini sentiasa dipelihara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!