Mujahid cabar Abdul Azeez berdebat isu TH
SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dicabar berdebat dalam hal berhubung institusi kewangan yang menguruskan dana umat Islam itu dan dakwaan berlaku sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Cabaran terbabit dilontarkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang berkata, beliau juga tiada masalah untuk menjemput Abdul Azeez membentangkan segala fakta dan dakwaan dalam perdebatan itu nanti.
Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, lebih-lebih lagi bekas Pengerusi Lembaga TH itu dilihat sering mencelah untuk mempertahankan diri sewaktu ucapan beliau dalam sidang Dewan Rakyat 15 Julai lalu.
“Saya nak berdebat dengan dia ini. Kita bentangkan apa yang didakwa. Dia kata ada fakta, tak apa, dedahkanlah supaya jangan ada beringat-ingat seperti di Parlimen baru-baru ini.
“Kita dedahkan secara aman, damai, bertamadun dan kita serahkan kepada rakyat untuk menilai,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen seperti dilaporkan portal Malaysia Dateline.
Bagaimanapun, Mujahid menyifatkan tiada keperluan untuk beliau berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memandangkan Ketua Pemuda UMNO itu bukanlah ahli Parlimen.
Mujahid juga memaklumkan bahawa sepanjang berada di bawah Kementerian Agama sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Asyraf juga sama sekali tidak pernah membangkitkan isu tersebut.
Terdahulu, dalam perbahasan usul yang menyentuh hal berhubung institusi kewangan yang mengurus dana umat Islam itu, Mujahid mendedahkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Lembaga TH yang dilakukan PH adalah berdasarkan laporan audit dan dapatan siasatan bebas mengenai kedudukan kewangan TH.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu mendedahkan bahawa aset TH lebih rendah daripada tanggungan sejak 2014 berdasarkan hasil dapatan siasatan beberapa badan yang dilantik untuk menyiasat kedudukan kewangan agensi tersebut.
Hal tersebut menarik perhatian Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez yang beberapa kali bangun mencelah meminta penjelasan Mujahid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!