Kerajaan akan tingkatkan pendapatan negara: Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus meneroka pelbagai pilihan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara termasuk mempelbagaikan sumber hasil kerajaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, keutamaan dan fokus pada masa ini adalah untuk melindungi rakyat dan menyokong perniagaan agar ekonomi negara dapat diperkukuh dan dipulihkan.
Tengku Zafrul berkata, defisit fiskal negara dijangka meningkat antara 5.8 peratus sehingga 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 3.2 peratus KDNK yang diunjurkan sebelumnya.
Katanya, ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia pada purata AS$41 setong antara Januari dan Jun tahun ini berbanding purata AS$61 setong yang digunakan pada Belanjawan 2020.
"Bagi setiap penurunan harga minyak sebanyak AS$1 setong, ia akan mempunyai impak sebanyak RM300 juta kepada Kerajaan Persekutuan.
"Oleh itu defisit Kerajaan Persekutuan akan naik," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul berkata, semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion sebelum ini adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka sederhana dan panjang.
"Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion.
"Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana secara berperingkat dan seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal," katanya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan pernah menurunkan kadar defisit sebelum ini kepada 3.8 peratus pada 2013 dan 3.4 peratus pada akhir 2019 daripada 6.7 peratus pada 2009 selepas krisis ekonomi dunia.
"Pada masa ini, kerajaan menggunapakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) di samping selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.
"Selain itu, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus. Oleh itu, kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!