Dua beranak buat tuntutan palsu RM50,000 ditahan SPRM
ALOR SETAR - Dua beranak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu untuk bayaran pembelian dan penyelenggaraan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kem tentera di Kedah.
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.12 tengah hari pada 19 Julai di pejabat SPRM Kedah dan bapanya berusia 48 tahun ditahan semalam lebih kurang jam 7.35 malam di tempat sama.
Kedua-dua suspek disyaki membuat tuntutan palsu melibatkan nilai RM50,000 bagi bayaran pembelian dan penyelenggaraan kemera litar tertutup (CCTV) di sebuah kem tentera di negeri ini pada November 2017.
Sumber berkata, suspek pertama yang merupakan pengurus syarikat telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 26 Julai depan.
Suspek kedua yang merupakan kontraktor turut dibenarkan reman selama tujuh hari sehingga 27 Julai oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Rashidah Azmi selepas dibawa untuk proses permohonan reman di Mahkamah Alor Setar hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan dua beranak itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!