Empat lelaki menyamar pegawai kastam dicekup
SEPANG - Menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kononnya melakukan operasi pemeriksaan di kedai runcit sebelum bertindak mengugut dan memeras wang.
Kegiatan empat suspek lelaki warga tempatan itu bagaimanapun terbongkar selepas diberkas polis dalam serbuan pada 17 Jun lalu di Kajang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek ini adalah mereka akan pergi ke kedai runcit dan mengaku sebagai pegawai kastam yang hendak melakukan pemeriksaan.
"Suspek kemudian akan mengatakan bahawa premis itu memiliki rokok seludup dan akan diambil tindakan.
"Kemudian suspek akan memeras ugut pemilik premis dengan meminta wang. Sekiranya mangsa tidak memberinya, suspek akan menakutkan mangsa dan kononnya akan ditangkap," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati terdapat empat kes dilaporkan membabitkan suspek di daerah ini dan tiga kes lain di daerah Petaling Jaya, Kajang serta Subang Jaya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
"Tindakan juga diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!