Kerajaan laksana #MyMudah, tiada lagi kerenah birokrasi
PUTRAJAYA - Inisiatif ‘MalaysiaMudah’ (#MyMudah) yang dipersetujui kerajaan bakal membantu syarikat dan perniagaan daripada bebanan peraturan tidak perlu serta kerenah birokrasi daripada agensi-agensi berkaitan.
Sebaliknya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan, inisiatif terbaharu kerajaan itu akan mengurangkan kos perniagaan selain merangsang usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
"YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius hal ini, justeru mengarahkan EAC serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melakukan intervensi dan bertindak sebagai badan penyelesaian masalah dalam menanganinya.
"Para pemilik syarikat dan perniagaan terbabit boleh mengemukakan beban peraturan dan birokrasi yang mereka hadapi melalui Portal Konsultasi Awam Atas Talian (Unified Online Public Consultation Portal) selain pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan oleh EAC dan MPC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, beban yang dibangkitkan akan dianalisa oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), seterusnya dibawa ke Mesyuarat EAC untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.
Menurutnya, keputusan yang dibuat di Mesyuarat EAC akan dilaksanakan oleh kementerian dan kerajaan negeri terbabit.
"Melalui inisiatif ini, kementerian dan kerajaan negeri akan dapat mengurangkan peraturan tidak perlu serta meningkatkan kecekapan perfungsian dan operasi mereka.
"Selain itu, kementerian dan kerajaan negeri juga diminta untuk menetapkan sasaran yang jelas dalam usaha mengurangkan kos pematuhan peraturan (termasuk jumlah prosedur dan jangka masa pemprosesan) yang dikenakan kepada syarikat dan perniagaan," katanya.
Mustapa turut memberi jaminan PEMUDAH akan memantau prestasi setiap kementerian dan kerajaan negeri dan membuat laporan berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi.
"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui MPC juga akan memberi panduan dan khidmat nasihat kepada semua kementerian dan kerajaan negeri dalam perlaksanaan inisiatif ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!