Sewa teksi samun tapak pembinaan

Wan Kamarul (kanan) menunjukkan kenderaan dan barang yang dirampas susulan tumpasnya Geng Edy Longor.
Wan Kamarul (kanan) menunjukkan kenderaan dan barang yang dirampas susulan tumpasnya Geng Edy Longor.
A
A
A

SEPANG - Taktik Geng Edy Longor menyewa teksi untuk melakukan samun bersenjata di kawasan tapak pembinaan di sekitar Lembah Klang akhirnya terbongkar selepas sembilan ahlinya ditahan dalam serbuan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan dilakukan selama tiga hari bermula 5 Julai sehingga 7 Julai berjaya menahan tiga lelaki tempatan dan enam warga asing berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati salah seorang suspek warga asing berusia lingkungan 30-an yang ditahan dipercayai adalah dalang geng berkenaan dan aktif melakukan jenayah itu sejak pertengahan tahun lalu.

"Selain itu, suspek lain juga disyaki berperanan sebagai pembeli dan 'transporter'.

"Serbuan dilakukan juga berjaya merampas pelbagai barang seperti telefon bimbit, kabel elektrik, peralatan pembinaan, dua buah teksi serta sebuah lori," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

Wan Kamarul berkata, modus operandi geng itu adalah menyewa teksi untuk melakukan jenayah samun berkumpulan.

"Suspek yang bersenjata parang dan besi akan masuk ke kawasan pembinaan yang disasarkan sebelum bertindak mengikat pengawal keselamatan dan mengambil barang berharga seperti kabel elektrik serta peralatan elektrik.

"Barangan hasil samun ini kemudiannya akan dijual kepada pihak ketiga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendedahkan, sebanyak lima kes membabitkan geng itu di daerah Sepang dikenal pasti dengan kerugian kira-kira RM90,000.

"Geng ini juga mempunyai rekod di daerah lain iaitu Kajang sebanyak dua kes, Kuala Lumpur (4), Petaling Jaya (1) dan Subang Jaya (1).

"Siasatan masih dijalankan dan polis kini giat memburu empat lagi individu dipercayai terlibat dengan geng ini," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!