Tiada pegawai anggota terlibat kongsi gelap

Mazlan meluangkan masa bergambar bersama pengunjung pusat beli-belah.
Mazlan meluangkan masa bergambar bersama pengunjung pusat beli-belah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan kongsi gelap kita telah mengubah modus operandi mereka dengan beralih kepada pengedaran dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka ini dilihat telah mula menjalankan kegiatan pengedaran dadah dan situasi ini telah berubah berbanding masa dulu.

"Ini satu masalah. Jika dulu, kumpulan gangster ini banyak melakukan jenayah kekerasan, tetapi sekarang mereka telah bertukar kepada jenayah pengedaran dadah.

"Bagaimanapun polis akan berusaha untuk 'senyapkan' kumpulan kongsi gelap daripada terus bergiat aktif," katanya selepas Program High Profile Policing di Cheras Leisure Mall, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, polis memerlukan maklumat daripada orang ramai untuk membanteras kumpulan-kumpulan ini dan boleh salurkan di talian 017-2035767 atau talian hotline 03-21460670.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan turut mengingatkan agar pegawai dan anggotanya tidak terbabit dalam kongsi gelap bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja dan sebagainya.

"Saya lebih rela tidak cukup anggota daripada mempunyai anggota yang bersekongkol dengan kumpulan gangster kerana saya perlukan pegawai yang berkualiti.

"Orang ramai usah khuatir. Polis akan terus menjalankan tindakan bagi membanteras kegiatan gangster. Kita akan pastikan pegawai dan anggota tidak terlibat dalam pembabitan gangster. Jika ada, mereka boleh dikenakan tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, beliau mengesahkan tiada pegawai dan anggotanya terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.

Dalam perkembangan lain, sempena Ops Selamat 14, yang bermula 29 Januari hingga 12 Februari depan, polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan enam kesalahan utama sepanjang 15 hari kempen itu berjalan.

Katanya, enam kesalahan itu adalah memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan lorong kecemasan.

"Kita tidak berkompromi dan sekiranya pemandu ditahan atas kesalahan ini, tiada pengurangan saman diberikan. Kita serius dalam kesalahan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!