PPj sedia enam lokasi khusus ibadah korban di Putrajaya

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim menunjukkan risalah kaedah aktiviti ibadah korban di Putrajaya ketika sidang akhbar sempena lawatannya ke tapak khusus aktiviti ibadah korban di Presint 9 hari ini. -fotoBERNAMA
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim menunjukkan risalah kaedah aktiviti ibadah korban di Putrajaya ketika sidang akhbar sempena lawatannya ke tapak khusus aktiviti ibadah korban di Presint 9 hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan enam lokasi khusus untuk aktiviti ibadah korban sempena sambutan Aidiladha di Putrajaya yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, lokasi yang terletak di Presint 5, 7, 9, 11 dan 14 itu dipilih berdasarkan kesesuaian untuk dijadikan tapak simpanan sementara haiwan korban, penyembelihan dan pengurusan sisa pepejal.

"Ia juga jauh daripada punca air, kita boleh tanam sisa-sisa korban serta mengamalkan SOP seperti penjarakkan sosial memandangkan hanya 30 petugas korban dibenarkan bagi menjalankan aktiviti sembelih, melapah sehinggalah pengagihan.

"Kita juga ada satu pintu masuk, satu pintu keluar dan kita boleh kawal orang yang datang membuat kutipan atau menyertai aktiviti korban," katanya kepada pemberita semasa melawat tapak aktiviti ibadah korban di Presint 9 di sini hari ini.

Aminuddin berkata, aktiviti ibadah korban di lokasi berkenaan juga dipecahkan kepada beberapa sesi mengikut jumlah haiwan korban bagi mematuhi SOP yang menghadkan tempoh lima jam bagi setiap sesi.

"Mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban di enam lokasi terbabit boleh membuat permohonan selewat-lewatnya pada 28 Julai ini melalui borang dalam talian dengan mengimbas kod QR di laman sesawang www.ppj.gov.my atau di media sosial PPj," katanya.

Setakat ini beliau berkata, PPj menerima 11 permohonan ibadah korban melibatkan 87 ekor lembu, 10 ekor kambing dan empat ekor kerbau.

Selain enam lokasi berkenaan, Aminuddin berkata, aktiviti korban juga boleh dijalankan di masjid atau surau sekitar Putrajaya dengan syarat permohonan perlu dibuat sebelum 28 Julai bagi memudahkan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

"PPj perlu buat lawatan dan penelitian bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan juga Jabatan Veterinar untuk memberi nasihat bagaimana ia hendak dilaksanakan dengan lebih teratur," katanya.

Beliau berkata, pihak kariah masjid dan surau juga perlu memberikan senarai nama 30 petugas yang akan terlibat kepada Jawi bagi memudahkan pemantauan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!