Pahang catat pelaburan RM91 juta
KUANTAN - Pahang mencatat nilai pelaburan sebanyak RM91 juta menerusi pelaburan asing dan tempatan sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan itu adalah hasil penubuhan sebuah pusat sehenti yang berpusat di Gebeng.
Menurutnya, pusat sehenti itu berfungsi sebagai pusat hubungan setempat bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan pelaburan yang merancakkan ekonomi Pahang.
"Kalau sebelum ini proses kelulusan permohonan mengambil masa 44 hari, namun adanya pusat sehenti ini proses (kelulusan) dipendekkan iaitu 22 hari sahaja.
"Perkara ini sudah dibangkitkan dan mesyuarat East Coast Economic Region yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju dengan penubuhan ini (pusat sehenti) di Pahang dan meminta ia diperluaskan ke negeri lain," katanya pada sidang media selepas Program Keterlibatan Sirim Berhad (Sirim- Industri Engagement) di Hotel Zenith, hari ini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP),Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menyasarkan jumlah pelaburan pada tahun ini ialah sebanyak RM5 billion dan pihaknya sedang berusaha mencapai sasaran sekali gus beliau yakin Majlis Tindakan Ekonomi Negeri dapat membantu meningkatkan lagi hasil dan sasaran tersebut.
"Setakat ini, dua perkara besar yang dikenalpasti ialah pusat pendaratan ikan di Kuantan. Jadi kita berusaha mendapatkan pelabur swasta yang berminat untuk menaiktaraf pusat pungutan ikan dan memudahkan para nelayan menghantar hasil laut ke pusat pendaratan.
"Kedua, kita mahu membuat pusat pengumpulan sayur-sayuran di mana sebelum ini mana-mana sayur-sayuran khususnya dari Cameron Highland terus dihantar ke Pasar Borong Selayang. Kita sedang kenal pasti tapak di Bentong serta beberapa tapak pilihan lain dan Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan buat pengumuman," katanya.
Tambah Wan Rosdy, kerajaan Pahang menitikberatkan perkembangan sektor perindustrian di Pahang kerana ia membantu peningkatan ekonomi di setiap negeri.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan supaya Sirim bersama-sama Kerajaan Pahang membangunkan industri lestari dan memastikan pelaburan di negeri ini mengikut piawaian dan standard ditetapkan.
"Kita harap semua pihak industri yang beroperasi di negeri ini supaya berusaha meningkatkan kualiti produk dengan menggunakan perkhidmatan disediakan oleh Sirim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!