Sirim bekerjasama MTIB laksana projek hibrid kayu-kayan

Wan Rosdy (tengah) memberitahu sesuatu kepada Ahmad Fadzil sewaktu melawat pameran sempena program itu hari ini.
Wan Rosdy (tengah) memberitahu sesuatu kepada Ahmad Fadzil sewaktu melawat pameran sempena program itu hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sirim Berhad (Sirim) akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam masa terdekat bagi melaksanakan projek Hibrid Tenaga Hijau Pengeringan Kayu- Kayan Tempatan ke arah industri mampan.

Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, projek ini melibatkan audit tenaga dan keberkesanan pengeringan tanur ke atas produk kayu.

"Kita jangkakan projek ini dilaksanakan pada bulan Oktober ini selepas ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak koronovirus (Covid-19).

"Projek ini akan membantu pengusaha mengurangkan kos tenaga elektrik, termasuk cadangan penggunaan tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga solar," katanya ketika berucap di program Keterlibatan Sirim - Industri (Sirim- Industri Engagement) di Hotel Zenith, hari ini.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ahmad Fadzil berkata, pihaknya menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri serta usahawan di Pahang.

Menurutnya, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 136 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro di Pahang terlibat dalam Program Pembangunan Keusahawanan Pemasaran dan kewangan.

"Jadi, melalui program ini, pendapatan usahawan akan meningkat sebanyak 23 peratus dan penawaran pekerjaan dijangka meningkat 18 peratus. Program ini berjaya melonjakkan pengeluaran, kualiti produk dan pembungkusan serta pelabelan sekali gus menembusi pasaran lebih besar seperti pasar raya besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,470 PKS mengambil bahagian dalam program peningkatan teknologi industri dan sebanyak 25 PKS adalah dari Pahang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!