Jururawat rugi RM227,000 ditipu Macau Scam

Gambar kecil: M. Zambri Mahmud
Gambar kecil: M. Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang jururawat kerugian RM227,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam menggunakan taktik kononnya mangsa terlibat dengan jenayah langgar lari, pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, wanita berusia 40-an yang bertugas di sebuah hospital itu menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 21 Februari lalu.

Katanya, lelaki tersebut mendakwa sebagai anggota polis dengan memaklumkan mangsa dikatakan terlibat dengan jenayah langgar lari.

"Panggilan kemudian disambungkan kepada lelaki lain kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). Pegawai itu memaklumkan mangsa terlibat sindiket pengedaran dadah serta penggubahan wang haram sebelum diminta menyerahkan semua butiran akaun bank untuk tujuan siasatan.

"Suspek meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun bank sahaja konon bagi memudahkan siasatan, sebelum berjanji siasatan diselesaikan pada 15 Julai," katanya ketika dihubungi hari ini.

M. Zambri berkata, mangsa yang bimbang kes diketahui majikannya hanya mengikut arahan diberikan suspek tanpa sebarang syak sehingga mendapati wang simpanannya berjumlah keseluruhan RM227,000 sudah dipindahkan ke dalam beberapa akaun bank tidak dikenali, semalam.

"Tanpa berlengah, dia membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!