PKR Hulu Langat sedia pikul tanggungjawab
SEMENYIH – PKR Cabang Hulu Langat bersedia memikul tanggungjawab sekiranya pucuk pemimpin PH memilih calon di kalangan ahli PKR untuk bertanding pada PRK Dun Semenyih.
Ketua Cabang Hulu Langat, Puvanendran Munusamy berkata, pihaknya menyokong keputusan pucuk pemimpin dalam memilih calon untuk PRK tersebut.
“Kita akan memberi sokongan kepada sesiapa pun menjadi calon, namun kita juga bersikap terbuka jika rakan komponen lain memberi laluan kepada PKR untuk menjadi calon,” katanya.
Puvanendran berkata, PKR Cabang Hulu Langat juga mempunyai calon yang berkebolehan dan disenangi rakyat.
“Kerusi Dun Semenyih amat bermakna buat PKR, kita telah buat kerja setelah sekian lama di Semenyih termasuk menambah keahlian, jumlah terkini adalah hampir 12,000 ahli.
“Apa salahnya beri peluang pula untuk PKR Cabang Hulu Langat untuk menabur bakti dan berkhidmat untuk rakyat di Dun Semenyih,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya menjalin kerjasama erat dengan parti komponen lain termasuk Ahli Parlimen Hulu Langat yang juga Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus.
“Beliau juga merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat, kita juga memerlukan pemimpin yang mempunyai sikap sebegini di peringkat Dun Semenyih,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberitahu semua parti komponen PH berhak menghantar senarai calon masing-masing bagaimanapun keutamaan diberikan kepada Bersatu.
Pemimpin PH akan bermesyuarat untuk tentukan (calon) dan buat masa ini semua parti boleh mencadangkan senarai nama calon yang berminat, namun keputusan akhir ia tertakluk kepada Majlis Presiden. Pastinya calon Bersatu di kawasan itu perlu bersedia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!