JIM lakukan siasatan dalaman insiden libatkan warga Perancis
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden salah faham yang didakwa berlaku melibatkan pegawai jabatan itu dengan seorang wanita warga Perancis, Sophie Lemiere di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan keselamatan sempadan negara tidak tergugat.
Menurutnya, Lemiere serta pegawai Imigresen terbabit telah membuat laporan polis serta memberikan segala butiran kejadian.
"Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama yang telus dan sepenuhnya kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung laporan mengenai insiden tersebut.
Laporan media dalam talian menyebut dakwaan Lemiere, seorang penyelidik politik, menjadi mangsa buli dan diugut pegawai Imigresen ketika tiba di klia2 pada 21 Januari lalu.
Beliau dilaporkan berada di Malaysia untuk menghadiri persidangan anjuran Kementerian Pertahanan atas undangan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Ching Tong.
Menurut Khairul Dzaimee, pegawai Imigresen telah mengikuti SOP dan membawa Lemiere ke pejabat operasi jabatan itu untuk membuat semakan lanjut selepas semakan awal di kaunter pemeriksaan di balai ketibaan mendapati nama wanita itu termasuk dalam Senarai Syak (SL).
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati nama subjek disenaraikan dalam SL oleh sebuah agensi penguatkuasaan.
"Pegawai imigresen yang bertugas telah menghubungi wakil agensi penguatkuasaan berkenaan untuk tindakan lanjut dan dalam masa yang sama cuba untuk memberikan penerangan situasi sebenar kepada subjek (Lemiere),”katanya.
Menurutnya, Lemiere mendakwa telah berlaku salah faham antara beliau dan beberapa pegawai Imigresen di antara jurang masa beliau mula dibawa ke pejabat operasi hingga beliau dibenarkan memasuki negara ini.
Khairul Dzaimee berkata beliau akan memastikan jabatannya sentiasa profesional dalam menjalankan tugas dan pada masa yang sama tidak akan berkompromi dengan apa jua unsur yang boleh menggugat keselamatan sempadan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!