Kes conteng mural: Dakwaan pemimpin PH terlibat hanya persepsi
SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menepis dakwaan bahawa pemimpin gabungan itu menjadi dalang insiden conteng gambar mural beberapa pemimpin negara, semalam.
Amirudin berkata, dakwaan tersebut hanyalah persepsi semata-mata yang dilemparkan bertujuan bagi menyalahkan pihak lain.
"Dakwaan itu untuk (tunjuk) salah orang lain. Semua pemimpin dalam PH atau parti lain turut tunjuk komitmen bagi mengecam tindakan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program RiDE di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.
Semalam, polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menconteng potret Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 untuk tampil menyalurkan maklumat.
Mengulas lanjut, Menteri Besar Selangor itu turut mengecam keras tindakan berkenaan yang dianggap tidak mencerminkan adab dan tatasusila.
"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah ambil tindakan serius dengan mengecat semula dinding berkenaan.
"Ada kamera litar tertutup (CCTV) dan kita benarkan polis jalankan siasatan bagi mengenalpasti pelaku berkenaan," katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mengekspresikan bakat masing-masing dalam lukisan mural namun lokasinya harus diambil kira selepas ini.
"Ini bukan kali pertama lorong belakang dihiasi lukisan mural malah kita, kerajaan negeri pertama menyediakan (ruangan mural) di Laman Seni Seksyen 2 dan Seksyen 7.
"Kita bagi ruang untuk ekspresi namun ruangan itu harus diperhatikan supaya dapat menggelakkan timbul perkara-perkara sensitif dan lain-lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!