Majoriti kes baharu Covid-19 di Singapura babitkan asrama
SINGAPURA - Singapura merekodkan 399 jangkitan baharu Covid-19 dengan sebahagian besar melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu, sembilan daripadanya adalah kes penularan dalam komuniti melibatkan satu warga tempatan dan lapan pemegang pas kerja.
Selain itu, tiga kes import turut dilaporkan dengan kesemua yang terlibat telah diletakkan di bawah kuarantin di rumah, demikian menurut kenyataan tersebut.
Susulan perkembangan terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan di republik tersebut meningkat kepada 48,434 kes.
Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 645 sebagai kes import, 2,130 kes penularan tempatan dan 45,260 kes adalah yang tinggal di asrama pekerja asing.
Setakat ini, sebanyak 44,371 pesakit atau 92 peratus daripada jumlah keseluruhan telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital dan fasiliti jagaan komuniti.
Setakat tengah hari semalam, masih terdapat 183 kes yang disahkan dirawat di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan stabil dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.
Sebanyak 3,454 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif Covid-19, telah diasing dan dirawat di pusat komuniti.
Seramai 27 maut akibat Covid-19 di Singapura setakat ini.
Tiada kluster baharu dikenal pasti setakat semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!