Aktivis direman sehari bantu siasatan pertikai polis

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

GEORGETOWN -Seorang aktivis direman di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berhubung beberapa status yang dimuatnaik di laman Facebook, hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Muhammad Azam Md Eusoff.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas dibawa ke mahkamah.

Menurutnya, penahanan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan berhubung beberapa status yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasutan termasuk mempertikaikan tindakan polis ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dia ditahan di rumahnya di Jelutong, Georgetown malam tadi. Dia dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman namun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita menerima laporan polis yang dibuat ke atas aktivis itu di Balai Jalan Tun Razak kerana dipercayai membuat beberapa kenyataan (menerusi Facebook) termasuk satu kenyataan yang mempertikaikan tindakan polis semasa PKP baru-baru ini.," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, aktivis itu disiasat di atas dakwaan hasutan, membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Mior Faridalathrash berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan polis turut menyiasat lelaki tersebut berhubung status Facebooknya mengenai mural pemimpin negara di Shah Alam yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!