Tun M minta ahli profesional lantikan kerajaan PH dikekalkan
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) meminta kerajaan menghentikan segera amalan menukar ahli profesional dengan ahli politik dalam badan-badan tertentu milik kerajaan.
Menurutnya, ahli profesional yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu perlu dikekalkan kerana mereka mempunyai kebolehan tertentu.
"Saya mendapati bahawa ahli kerajaan amat berminat untuk tukar ahli profesional dengan ahli politik.
"Sudah 30 badan yang ditukar kerana untuk memberi pendapatan yang tinggi kepada ahli politik," katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi ahli politik pelantikan ke dalam jawatan itu adalah hadiah supaya mereka dapat pendapatan yang lebih kerana mereka adalah penyokong kerajaan.
Bagaimanapun, dari segi pengurusan pandemik koronavirus (Covid-19), Dr Mahathir memuji kerajaan kerana menyerahkannya kepada ahli profesional.
"Dalam urusan pandemik ini kerajaan entah bagaimana telah membenarkan ahli profesional mengurus sehala masalah yang berbangkit.
"Dengan itu pengurusan ini dilakukan dengan cara yang bijak dan cukup pengetahuan. Sebab itulah kita dapati pandemik ini dapat dikurangkan (dikawal) dalam jangka masa yang agak pendek," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!