Wanita 'gelang pink' dirawat di hospital
IPOH - Seorang pesakit di bawah pengawasan (PUS) wabak koronavirus (Covid-19) yang tular makan di sebuah restoran di Meru Raya di sini telah dikenal pasti dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Menurut sumber, wanita berusia 72 tahun itu diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.
"Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.
"Kejadian itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu baharu sahaja tular kelmarin," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tular makcik gelang ‘pink’: Restoran lakukan sanitasi
Menurutnya, saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita tersebut positif dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu.
"Wanita itu kini masih dalam rawatan Covid-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif.
"Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu setelah siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada masa sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran SOP oleh wanita berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan dan kes Covid-19 juga masih bertambah di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!